Bolot enam anugerah, “Babah” dinobat Filem Terbaik FFM34

FILEM “Babah” dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, di sini malam Sabtu.

Kejayaan itu melayakkan filem berkenaan menerima insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta dan trofi.

Kemenangan itu sekali gus menundukkan empat lagi finalis dalam kategori sama iaitu Soloz: Game of Live, Takluk: Lahad Datu, Reversi serta Blood Brothers: Bara Naga.

Anugerah utama itu disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dengan diiringi Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac serta Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Bukan itu sahaja, pelakon utama filem berkenaan, Qi Razali dan Sweet Qismina masing-masing berjaya membawa pulang trofi Pelakon Lelaki serta Wanita Terbaik.

Selain itu, Babah turut memenangi trofi lakon layar terbaik, Cerita Asal Terbaik dan pengarahnya, Mohd Shah Faizul Ibrahim pula menggondol trofi Pengarah Harapan.

Sementara itu, filem yang turut memberi saingan sengit iaitu Blood Brothers: Bara Naga juga memenangi enam kategori iaitu Anugerah Khas Filem Box Office, Lagu Tema Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Sinematografi Terbaik, Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *