
KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini sedikit tegang apabila seorang penyokong kerajaan mempersoalkan hala tuju dan dasar Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam menangani isu pendakwaan rasuah di negara ini.
Isu dibangkitkan Teresa Kok (PH-Seputeh) itu merujuk kepada kes Jana Wibawa membabitkan Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad yang dituduh atas dakwaan menerima rasuah berjumlah RM9.9 juta, namun dibebaskan selepas membayar kompaun RM4.1 juta.
“Pada asalnya, beliau menghadapi 12 pertuduhan mengikut laporan media tempatan iaitu lima bagi kesalahan rasuah di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan tujuh lagi bagi kesalahan pengubahan wang haram di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.
“Soalannya, beliau dituduh mengambil rasuah RM9.9 juta, selepas membayar denda RM4.1 juta, beliau masih simpan RM 5.8 juta.
“Begitu juga dengan seorang wakil rakyat dan pembantunya yang dituduh menyimpan beratus-ratus juta ringgit dalam satu rumah.
“(Namun), pihak AGC nampaknya tidak menunjukkan tanda untuk mendakwa mereka ke mahkamah selepas mereka memulangkan kesemua duit kepada kerajaan.
“Apakah ini hala tuju AGC, yang mana AGC tidak akan mendakwa seseorang di bawah rasuah sekiranya dia memulangkan semua duit rasuah berkenaan?” soalnya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, dilapor berkata Adam Radlan dibebaskan oleh mahkamah selepas pihak pendakwaan menggunakan budi bicara untuk menarik balik pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadapnya selepas membayar kompaun yang ditetapkan.
Adam Radlan sebelum ini berdepan 12 pertuduhan, lima bagi kesalahan rasuah di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan tujuh lagi bagi kesalahan pengubahan wang haram di bawah AMLA.
Mengulas lanjut isu berkenaan, Teresa turut membandingkan kes membabitkan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang didakwa dan dibicarakan selama lima tahun di mahkamah membabitkan rasuah.
Jelasnya, pihak pendakwa raya dalam kes berkenaan tidak dapat menunjukkan apa-apa bukti bahawa Guan Eng menerima rasuah.
“Kalau kita lihat dalam kes YB Bagan yang didakwa dibicarakan selama lima tahun di mahkamah, pihak pendakwa raya tidak dapat menunjukkan apa-apa bukti beliau menerima rasuah.. Tiada ‘money trail’ dan tiada bukti terdapat wang dimasukkan ke dalam akaunnya.
“Adakah ini menunjukkan ‘double standard’ (pilih kasih) bagi pihak AGC dan SPRM dalam pendakwaan rasuah. Bukankah ini tidak adil kepada Bagan?” soalnya.
Kenyataan Teresa itu menimbulkan rasa tidak puas hati Ahli Parlimen pembangkang termasuk Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang tampil membangkitkan mengenai peraturan Dewan Rakyat iaitu perkara yang sedang dalam proses perbicaraan mahkamah tidak boleh dibangkitkan dalam perbahasan.
Perkara itu kemudiannya diakui Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau yang mengingatkan Teresa supaya tidak menyentuh apa-apa perkara yang sedang dalam pertimbangan mahkamah.
Leave a Reply